Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping
manusia. Boleh dikatakan ia sebagai “kembar”
manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya
sendiri. Rasulullah SAW sendiri tidak terkecuali. Cuma bedanya, Qarin Rasulullah
adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada
umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya (manusia)
membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan sholat,
berat untuk baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga
untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Firman Allah:
“Dan sesiapa yang tidak
mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha
Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya),
lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)
Untuk
mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal
kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap
manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau
bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya
lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sesuatu
pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah
Allah.
Rasulullah
s.a.w bersabda:
“Tiada seorang pun daripada
kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat.
Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada,
tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya
menyuruh aku dalam hal kebajikan saja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)
Aisyah
r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya
(Aisyah), lalu Aisyah berkata:
“Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba
Baginda SAW berpatah balik dan
bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata:
“Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda
Baginda SAW: “Apakah engkau telah
dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda SAW: “Setiap insan ada syaitan, yaitu Qarin.” Aku bertanya
lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi
Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)
Di
dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku dilebihkan daripada
Nabi Adam a.s dengan dua perkara, yaitu pertama syaitanku
kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu
akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia
membuat kesalahan.”(Hadith Riwayat Baihaqi)
Ibn
Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang
beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang
mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu
gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila
tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun
begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku
sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin
akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya)
meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin
terus hidup karena lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila
tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah
untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab
atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.
***********
By. Handira Informasi
Komentar