Klik Video di bawah ini !!
Kiamat besar
disebutkan oleh Allah akan datang secara tiba-tiba, tanpa dapat diramal secara
tepat oleh manusia. Nabi Muhammad hanya diberikan oleh Allah ilmu berkenaan
tanda-tanda hampirnya sahaja. Tiada siapa yang mampu meneka tarikh tepatnya,
sama ada tahun atau bulannya.
Sesiapa yang cuba mengira-ngira sama ada berdasarkan jumlah dan
ayat al-Quran dan sebagainya, ia sebenarnya sedang melakukan kekarutan dan
menyeleweng dari jalan yang benar.
Maka tidaklah
yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada
mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka
apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila hari kiamat sudah
datang? ( Surah
Muhammad : 18)
Itu perihal kiamat besar, namun disampingnya ada kiamat kecil,
iaitu kematian yang sentiasa basah di bibir Rasulullah mengingatkan umat dan
sahabatnya. Kiamat kecil ini juga kerap datang secara tiba-tiba, sehingga kata
orang ia datang “tanpa seorang itu mampu atau sempat bersedia”.
Hakikatnya itu tidak benar, sebenarnya Allah mendatangkan
kematian setelah kita semua diberikan masa dan infra secukupnya untuk bersedia.
Cuma kita yang terlalu lalai dan terhijab dek kerana kecantikan dan kenikmatan
sementara yang wujud di atas dunia ini.
Ada video dibawah ini melalui entry, namun bagi meluaskan lagi jangkauan
kebaikan yang boleh diperolehi dari video ini, sebuah video yang saya tonton berkali-kali, dan sebuah video yang mampu
mengalirkan air mata.
Video ini memperlihatkan seorang yang dijemput kematian ketika
betul-betul sesudah solat. Betapa kita tidak dapat menyangka bila nyawa akan
ditarik. Setiap organ yang berfungsi di dalam tubuh kita adalah dengan izin dan
kuasa Allah, kita tidak mampu mengawalnya. Terhentinya ia beberapa minit cukup untuk menamatkan umur kita di atas
dunia. Ia bukan seperti enjin kereta yang boleh ditangguh-tangguh untuk
memulihkannya.
Kekaguman saya
kepada individu ini bertambah apabila keadaan kematian yang begitu baik ( pada
hari Jumat 1 Jan 2010 adalah hari Jumat dan beliau datang awal ke
masjid) di sebarluaskan oleh ramai, malah dengan izin Allah, mampu menyedarkan
dan menginsafkan ramai yang menontonnya. Ketika itu, terfikir bahwa kematiannya
juga adalah sebuah dakwah yang hebat.
Setiap aliran darah, denyutan jantung, fungsinya hati, usus dan
sebagainya, semua dikawal oleh kuasa Allah ta’ala. Bukan hanya apa yang di
dalam tubuh malah juga semua yang diluarnya, Lihat video ini bagaimana secara
tiba-tiba tiang boleh jatuh dan menimpa pejalan kaki.
Mungkin ada yang terfikir, seorang ahli sukan yang ‘fit’ cerdas
dan sehat, mungkin tidak akan menerima serangan jantung, namun coba lihat apa
yang terjadi kepada pemain sepakbola Hungary ini . Selepas memberikan senyuman
kepada pengadil yang memberikannya kad kuning dan terus…
LUPA
Ramai yang terlupa di akhirat sana, nikmat yang maha besar
sedang menunggu bagi sesiapa yang bersedia dan sentiasa menambah persediaan dan
bekalannya. Nikmat Syurga tidak mampu sama sekali digambar, sebagaimana pereka
cipta kereta Ford di awal rekaannya tidak akan mampu sama sekali terbayang
kereta Ferrari di zaman ini. Jika diandaikan seorang dari kita tiba-tiba
melayang ke masa silam dan cuba menerangkan perihal bentuk dan enjin Ferrari,
bentuk dan fungsi i-phone dan i-pad ,tentunya tiada siapa yang
berada di zaman itu boleh membayangkannya.
Begitulah kenikmatan akhirat yang disebut oleh Nabi dari Allah
ta’ala :
Aku menyediakan
bagi hambaku yang soleh (syurga) yang tiada mata yang telah pernah melihatnya
(tidak mampu tergambar), dan tidak pernah didengari (kenikmatannya) oleh
telinga dan tidak mampu terlintas (tahap kenikmatannya) oleh hati manusia. ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Manakala dalam catatan Imam Ahmad
Sesungguhnya
sesiapa yang memasuki Syurga Allah akan dikurniakan nikmat yang tidak akan
jemu, tidak binasa pakaiannya, tidak hilang kepemudaan/pemudiannya, apa yang di
dalam Syurga, sesuatu yang mata tidak mampu tergambarnya, dan tidak pernah
didengari (kenikmatannya) oleh telinga dan tidak mampu terlintas (tahap
kenikmatannya) oleh hati manusia. (Riwayat Ahmad)
Para ulama menghuraikan, perihal Nabi Adam yang pernah mendiami
Syurga tidak sama sekali bertembung dengan hadis ini kerana syurga itu sentiasa
berubah-ubah nikmatnya dan
tidak akan sama sekali membosankan. Luasnya
tidak tercapai oleh bayangan aqal manusia. Menurut hadis, individu yang
menerima syurga paling terbawah pun besarnya adalah beberapa kali ganda dunia
hari ini, apalagi yang lainnya. Justeru itu, apa yang dilihat oleh nabi
Adam, dengan mudah sekali bagi Allah mengubahkan kepada apa yang
dikehendakiNya.
Akhirnya sekali, ingatlah pesan dan teguran Imam Hasan Al-basri:
Tidaklah aku
melihat satu perkara yang amat pasti (yakin) serta tiada keraguan padanya akan
datang tetapi diperlakukan seperti suatu perkara yang tidak pasti hadirnya,
(seolah tidak yakin kewujudannya) lebih dari perihal kematian.
Sama-samalah kita berdoa agar sewaktu nyawa kita ditarik kita
berada di dalam keadaan yang baik di sisi manusia, amat baik di sisi Allah.
Janganlah dimatikan kita sewaktu terlanjur melakukan maksiat.
Sumber: http://www.zaharuddin.net/
Komentar